|
Kemunculan kumpulan nasyid kontemporari pertama di Malaysia, iaitu kumpulan Raihan pada tahun 1997 merupakan perintis era kegemilangan nasyid di Malaysia. Seiring itu muncul pula kumpulan-kumpulan nasyid yang turut mewarnai persada muzik tanahair seperti Rabbani, Hijjaz dan Saujana dengan bentuk hiburan bermesejkan ketuhanan serta menerapkan nilai-nilai Islam yang murni bertujuan mendidik masyarakat dari segenap lapisan usia. Hingga ke hari ini irama nasyid terus berkembang subur dengan kemunculan anak-anak muda yang terus memperjuangkan irama nasyid dan menjadikan nasyid sebagai medium dakwah mereka. Apa yang lebih membanggakan, irama nasyid kini semakin diterima oleh segenap lapisan masyarakat, baik di Malaysia mahupun di negara-negara jiran khususnya Indonesia, Singapura dan Brunei.
|